Tuesday, May 09, 2006

"Tayangan Lelaki Komunis Terakhir" dilarang

Tayangan 'Lelaki Komunis Terakhir' dilarang

Oleh Salhan K. Ahmad & Fathi Aris Omar


Mstar. 8 March.

PETALING JAYA: Filem dokumentari kontroversi Lelaki Komunis Terakhir arahan Amir Muhammad tidak akan ditayangkan minggu depan di pawagam seperti dijadualkan berikutan larangan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) pada Jumaat lalu.

Satu sumber di kementerian tersebut memberitahu mStar Online hari ini, surat rasmi telah dikirim kepada Red Films, syarikat pengeluar filem ini, lewat petang Jumaat lepas.

Larangan tersebut diambil dipercayai selepas beberapa pihak menyuarakan bantahan mereka, khususnya seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu minggu lepas.

mStar Online difahamkan, larangan kementerian tersebut meliputi "penayangan, pempameran, pengedaran dan penyebaran" filem 90 minit yang mengisahkan perjalanan hidup Chin Peng, pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan.

Filem dokumentari semi-muzikal ini turut memuatkan lagu-lagu selain wawancara dengan beberapa pihak, termasuk 20 minit dengan pejuang-pejuang gerila bersenjata ini yang kini menetap di Betong, selatan Thailand.

PKM menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada Disember 1989.

Filem ini turut diilhamkan daripada buku autobiografi Alias Chin Peng: My Side of History, tulisannya bersama ahli sejarah Ian Ward yang diterbitkan pada 2003. Ia mengisahkan kehidupan dan tafsiran sejarah bekas setiausaha agung PKM itu yang kini hidup dalam buangan di Thailand.

Filem Amir ini bagaimanapun tidak memuatkan wawancara dengan watak utamanya, Chin Peng, walau lebih 80 orang ditemui dalam proses pembikinannya.

Dalam kenyataannya kepada mStar Online Mac lalu, Amir berpendapat ketiadaan wawancara dengan pemimpin gerila ini, kini 82 tahun, dalam filemnya akan memberikan "kesan misteri yang berpanjangan kepada penonton".

Surat KHEDN itu yang ditandatangani oleh seorang pegawai di Bahagian Kawalan Filem kementerian terbabit dibuat berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002.

Menurut surat itu, larangan dibuat dengan alasan "mengambil kira kepentingan awam."

Amir, dalam satu mesej SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada mStar Online hujung minggu lalu, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai larangan ini daripada syarikat penerbitnya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana sedang menghadiri satu festival filem dokumentari di Toronto, Kanada.

Lelaki Komunis Terakhir, atau judul Inggerisnya The Last Communist yang dihasilkan dengan bajet RM50,000 itu, pada asalnya dijadualkan ditayangkan di tiga buah pawagam GSC di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mulai 18 Mei ini.

Sementara satu tayangan amal akan diadakan di Ipoh pada 19 Mei.

mStar Online difahamkan semua tayangan ini akan dibatalkan sebagai mematuhi arahan KHEDN tersebut. Penerbit ini bagaimanapun dilaporkan bercadang mengemukakan rayuan kepada kementerian, kata seorang jurucakapnya kepada satu akhbar dalam talian Sabtu lepas.

Filem ini yang diluluskan Mac lalu tanpa sebarang suntingan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa, termasuk yang terbaru di Festival Dokumentari Antarabangsa Kanada Hot Docs di Toronto (festival dokumentari terbesar di Amerika Utara) minggu lepas dan Singapore International Film Festival pada 27 April lalu.

Pengerusi LPF Mohd Hussain Shafie baru-baru ini berkata walaupun dokumentari tersebut berkenaan bekas seorang pemimpin parti yang diharamkan, filem itu tidak akan menyebabkan apa-apa kesan negatif kepada rakyat Malaysia.

"Apabila sesuatu filem cuba menyebarkan ideologi (komunisme), kita tidak akan benarkan," beliau dipetik sebagai berkata kepada The Star.

"Peranan utama kami di sini mengesan hal-hal yang boleh mengancam keselamatan negara. Tetapi daripada penilaian kami, filem (Lelaki Komunis Terakhir) ini tidak lebih sebuah dokumentari tentang hal-hal sejarah yang orang ramai boleh baca dalam buku-buku sejarah, atau di tempat-tempat lain."

Bagaimanapun beberapa pihak dilaporkan kurang senang dengan kelulusan yang diberikan oleh badan penapisan filem ini.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad menyifatkan tindakan LPF itu sebagai "tidak wajar". Negara mempunyai tokoh-tokoh yang lebih berwibawa untuk diteladani dan usaha mengagung-agungkan pemimpin komunis adalah tidak wajar, katanya pada Rabu lepas.

Dalam laporan yang sama, pakar sejarah profesor emeritus Datuk Khoo Kay Kim menyarankan agar "LPF merujuk pihak yang arif terutama dari segi kesannya jika filem kontroversi itu ingin disiarkan kepada umum dan tidak bertindak terburu-buru dalam memberikan kelulusan."

“Sebelum meluluskan, biarlah pihak yang arif menontonnya terlebih dulu. Dalam hal ini LPF tentu tidak benar-benar faham jika kita minta mereka menjelaskan apa itu komunisme dan faham apa sejarah darurat," beliau dipetik sebagai berkata.

Dalam laporan susulan akhbar tersebut Jumaat lalu, persatuan pengamal filem tempatan digambarkan "kebingungan apabila mengetahui filem tersebut bakal ditayangkan pada 18 Mei sedangkan mereka tidak tahu menahu mengenai pembikinannya."

Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) dilaporkan berkata penerbitan filem itu tidak wajar, selain LPF juga tidak sepatutnya meluluskan filem itu untuk tatapan rakyat.

"Saya juga terkejut apabila LPF sendiri boleh beri kelulusan terhadap filem ini," kata presiden PFM, Ruhani Abdul Rahman seperti dilaporkan.

Sementara presiden PPFM, Syed Mohamed Hassan pula berkata, "kami di PPFM berasakan filem sebegini tidak wajar dibuat apatah lagi ditayangkan untuk umum di pawagam. LPF harus memikirkan soal sensitiviti masyarakat sebab komunis atau PKM menjadi musuh negara (sebelum perjanjian damai)."

Dalam laporan berasingan di akhbar yang sama Jumaat lepas, LPF berkata pihaknya akan mengkaji semula kelulusan Lelaki Komunis Terakhir jika menerima banyak bantahan daripada orang ramai. "Kalau ramai yang desak, kami akan kaji semula," Mohd Hussain dipetik sebagai berkata.

Penghujung Mac lalu seorang wakil Barisan Nasional (Gerik) pernah mempertikaikan kewajaran menjadikan tokoh PKM ini sebagai tema filem di Dewan Rakyat. Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dilaporkan berkata "kenapa Lelaki Komunis Terakhir sedangkan kita mempunyai pahlawan kita sendiri?"

Sementara Pemuda Umno sendiri turut membantah projek Amir ini sejak perancangannya setahun lalu.

2 Comments:

Blogger mob1900 said...

I'm sure if you rename the movie, 'Cikodok UMNOputra Terakhir' it will receive NO objection and all those 'interest of concerned public' will dissapear.

Better still, put the 3/4 Akmal Abdullah's face with thumbs up on the poster!

8:40 pm  
Blogger Obefiend Weiland said...

better still rename the movie "the last PAS/DAP/ADIL man". not only will you get nationwide release. you will get a datukship, awards and they would even ask you to add more scenes instead of cutting them

i want to see this so called commie flick. like most histoy buff i want to know the other side of the story. they say that history was written by the winning side. and we all know an incomplete histoy is a bias one

keep up the good work. i had enuff or romantic schmaltz on the cinemasope. need more brain food

5:03 pm  

Post a Comment

<< Home